Sabtu, 26 Mac 2022

Orang Perak kahwin orang Pahang. Kat rumah guna loghat apa?

 Negeri Perak dan negeri Pahang adalah dua negeri yang berbeza dan dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa. Walaupun dari segi geografi dan logiknya agak sukar untuk orang-orang dahulu merentas kedua-dua negeri ini namun hari ini kita boleh dapati bahawa kedua-dua negeri ini terdapat persamaan dari segi bahasa dan juga makanan. Baru-baru ini saya membuat survey untuk mengetahui bahasa yang digunakan di rumah oleh mereka yang kahwin campur antara Pahang dan Perak.

  Survey tersebut mendapat sambutan dan mendapat banyak like dan juga komen.  Saya ingin kongsikan komen-komen yang agak menarik kepada anda semua.  Mungkin anda juga ingin tahu jawapannya.

 Ramai yang memberikan komen seperti Ahmad Mazim. Tak ada masalah untuk menggunakan kedua-dua bahasa di rumah kerana bunyinya seakan-akan sama. asalkan kedua-duanya tidak menggunakan bahasa yang terlalu pekat. Jika kedua-duanya menggunakan bahasa yang terlalu pekat maka adalah sukar untuk difahami. Kenyataan ini juga terpakai untuk kedua-dua pasangan yang berasal dari negeri Perak. Loghat Perak untuk mereka yang tinggal di Kuala Kangsar dan loghat perak untuk yang mereka yang tinggal di Kampung Gajah bukanlah 100% sama. Ada perkataan yg hanya digunakan di sesebuah tempat tapi tak digunakan di tempat lain.

 Ada juga orang Pahang yang tinggal di Perak  menggunakan loghat perak sepenuhnya di rumah seperti yang dinyatakan oleh Mohamad Pauzi.  Namun ada juga pasangan yang terus menggunakan bahasa standard di rumah tanpa pengaruh mana-mana negeri seperti dinyatakan oleh Nana Liana.


 Boleh dikatakan rata rata setuju daerah Kuala Lipis dan Raub mempunyai hubungan yang amat kuat dengan negeri Perak dari segi percakapan dan juga makanan. Tapi kalau kita suka mengembara, kita boleh lihat loghat yang seakan-akan Perak ini sebenarnya pergi lebih jauh hingga ke daerah Pekan. Ada teori yang mengatakan bahawa pengaruh bahasa atau loghat ini dipengaruhi oleh Sungai Pahang. Bermula di kuala Lipis, sungai Pahang melalui hampir kesemua daerah yang ada di Pahang hingga ke daerah Pekan.  Sungai Pahang tidak melalui daerah Kuantan maka di Kuantan loghat mereka ada lain sebab bercampur dengan loghat Terengganu.


 Saya pernah bekerja di sebuah syarikat pembuatan kereta yang terkenal di Pekan, Pahang. Walaupun jauh dari tempat saya membesar, namun di hati saya tak terasa jauh kerana rata-rata penduduk di sini menggunakan loghat yang hampir sama dengan negeri Perak. Saya menggunakan bahasa saya dan mereka menggunakan bahasa mereka dalam urusan harian namun kedua-duanya saling memahami.
 Bukan sahaja dari segi bahasa dari segi makanan pun ada banyak persamaan contohnya patin masak tempoyak. Kebanyakan orang mengatakan patin masak tempoyak Temerloh yang paling hebat tapi korang pernah rasa patin masak tempoyak orang Kuala Kangsar? Namun tak dapat dinafikan bahawa Patin ni lebih sinonim dengan negeri Pahang sebab bila kita lalu di tepi sungai Pahang kita boleh nampak banyak sangkar sangkar ikan patin di dalamnya. Berbeza keadaannya dengan Sungai Perak.

 Jika anda ada nak tambah apa-apa boleh tambah di ruang komen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan